Saturday, July 19, 2008

Anuar buat Shabery Terkebil!!!

Assalamualaikum dan salam perjuangan kepada semua.


Sejak awal hari ini saya menanti dengan penuh debaran, menunggu dengan
sabar detik 9 malam bagi menyaksikan secara langsung debat di antara Dato'
Seri Anwar Ibrahim dan Shabery Chek yang bertajuk "Hari ini bentuk
kerajaan, besok harga minyak turun".


Sebagai Menteri Penerangan, Shabery mewakili kerajaan demi menerangkan
kepada rakyat "Mengapa harga minyak dinaikkan" manakala Anwar Ibrahim
sebagai wakil daripada rakyat bagi membahaskan "Kenaikkan harga minyak
boleh dielakkan".


Seperti semua sedia maklum, kita sering mendengar ucapan-ucapan Anwar yang
menyentuh soal harga minyak malah kita sudah hampir khatam mengenai hal
minyak ini dari pembelajaran yang dibawa oleh beliau serta rakan-rakan
Pakatan Rakyat dari PAS dan DAP.


Kali ini, saya begitu bersemangat sekali kerana berpeluang mendengar
hujah-hujah dari pihak kerajaan yang seolah-oleh tidak mempedulikan nasib
rakyat dengan keputusan menaikkan harga minyak secara mendadak. Saya ingin
dengar, jika benar kenaikkan harga minyak itu tidak dapat dielakkan, apakah
hujah-hujahnya? Boleh diterima pakai atau tidak?


Dengan harapan yang menggunung, kita semua berharap mendapat sesuatu yang
benar-benar meyakinkan dari pihak kerajaan bahawasanya harga minyak itu
adalah muktamad tidak boleh dikekalkan atau diturunkan. Mudah! Hanya
jelaskan sebabnya tetapi biarlah dalilnya konkrit.


Anwar Ibrahim memulakan pidatonya dengan tenang, dengan emosi yang cukup
terkawal di mana dalam keadaan ini, segala ungkapan yang lahir dari
pidatonya cukup rasional, padat, proaktif dan mudah diterima oleh penonton.
Tetapi Shabery dengan begitu angkuh menyentuh kembali peristiwa Anwar
sewaktu beliau menjadi mahasiswa pada 1970 lalu. Siapakah Shabery pada
1970? Mengapa menyetuh perihal lampau?


Dari awal lagi Shabery menggunakan medan debat ini hanya untuk menghentam
Anwar sedangkan beliau lupa bahawa dalam perdebatan yang singkat itu
sepatutnya digunakan sebaik mungkin bagi menjelaskan kepada rakyat "Mengapa
harga minyak dinaikkan". Shabery perlu sedar, ini adalah peluang yang
sangat baik dari pihak kerajaan untuk menerangkan secara terperinci perihal
kenaikkan harga minyak. Bukan medan untuk membuat provokasi murahan supaya
tumpuan berdebat itu lusuh.


Saya bersyukur kerana Anwar pada malam ini sangat tenang. Ketenangan yang
mencerminkan ketepatan berhujah dengan isi yang kukuh serta fakta yang
jelas. Dengan mudah Shahery terperangkap dengan kelicikan Anwar dalam
berdebat.


Ungkapan penurunan harga minyak 50sen telah disalah tafsir oleh Shabery
dengan mempersoalkan bahawa Anwar sepatutnya menurunkan harga minyak
sekitar sebelum kenaikkan 70sen iaitu dari harga RM1.92. Dengan ikhlas
Anwar menerangkan penurunan 50sen kepada RM2.20 adalah langkah awal untuk
mengawal anjakkan ekonomi yang tidak menentu.


Kemudian Shabery bertanya adakah turun 50sen sahaja yang mampu dilakukan
jika Anwar memerintah? Adakah dalam keadaan harga minyak dunia yang semakin
naik, tetapi scenario yang berlaku di negara ini sekiranya Anwar memerintah
adalah menurunkan harga minyak?


Walaupun Anwar tidak sempat menjawab persoalan itu kerna telah dijelaskan
bahwa penurunan 50sen sebagai langkah awal, Ingin saya tambah di sini,
arakian Pakatan Rakyat memerintah kelak. Harga minyak domestic akan
dikurangkan sedikit demi sedikit, secara berperingkat. Ini boleh dilakukan
mengikut maksud Anwar.


Jika Pakatan Rakyat memerintah hari ini, besok harga minyak akan turun
50sen sebagai langkah awal, kemudian apabila segala ketirisan dapat
dibendung, apabila sistem kewangan negara yang telah rosak itu dibaikpulih,
sudah tentu harga minyak diturunkan lagi di atas fahaman, segala ketirisan
yang berlaku selama ini merosakkan kekuatan ekonomi Malaysia. Jadi apabila
rasuah dibendung, ekonomi kembali kuat. Harus diingat, naiknya harga minyak
global, negara kita mendapat hasil yang lumayan dan rakyat mendapat
manfaat.


Shabery mengatakan Petronas tidak harus diganggu. Anwar kata kami respek
dengan kesungguhan Petronas, tetapi yang menjadi persoalan pokok di sini
ialah pemberian Petronas kepada kerajaan itu sepatutnya diagihkan dengan
baik. Shaberi terkebil.


Shabery sekali lagi mengatakan adakah titik peluh warga Petronas yang
membuat keuntungan amat besar itu wajar digunakan untuk seluruh rakyat?
Jangan kata Anwar sahaja yang boleh jawab, saya pun boleh jawab. Mereka
yang berusaha hingga Petronas untung beratus bilion itu telah dibayar
gajinya dengan berpatutan sekali. Bonus dua kali setahun sebanyak lebih
kurang 6 bulan gaji adalah setimpal dengan keringatnya berbanding
pesawah-pesawah yang membanting tulang memerah keringat untuk mencukupkan
bekalan beras negara.


Jadi ingin saya nyatakan di sini, Petronas itu adalah khazanah negara.
Untungnya dari dalam dan luar negara tidak kiralah walau sekadar 26%
sekalipun hasil dalam negara adalah untuk kerajaan yang memerintah. Dari
mana datangnya keuntungan luar negara Petronas? Dari mana datangnya modal
Petronas dagangan? Sudah tentu ianya adalah pelaburan kerajaan yakni wang
rakyat dan sebagai galang ganti, tidak salah jika saya katakana segala
keuntungan Petronas wajar diagihkan kepada seluruh rakyat. Itu saya kata,
Anwar hanya kata jumlah pemberian Petronas kepada kerajaan perlu
dikemaskini dan perlu diperhalusi demi menjaga kestabilan ekonomi negara.


Anwar begitu jelas menyatakan kesungguhan dalam meringankan beban rakyat.
Anwar begitu ikhlas. Ini bukan soal Pakatan Rakyat, ini bukan soal siapa
yang nak jadi Perdana Menteri. Ini adalah soal rakyat. Rakyat yang terbeban
dengan kemelesetan ekonomi akibat daripada tindak-tanduk kejam kerajaan
yang sedia ada ini.


Shabery cuba membandingkan harga minyak tanpa subsidi seperti yang berlaku
di eropah, tetapi tidak menyatakan perihal kuasa membeli rakyat di sana.
Anwar menyebut pendapatan per kapita mereka di eropah berkaliganda lebih
tinggi dari rakyat negara ini. Itu adalah fakta dan shabery terkebil lagi.


Apabila Shabery membezakan kadar inflasi di negara minyak murah seperti
venuzuela dan negara arab. Itu tidak dinafikan oleh Anwar. Namun secara
spontan Anwar mengatakan bahawa negara yang dimaksudkan oleh shabery itu
mempunyai kadar inflasi yang tinggi dengan harga minyak yang rendah
manakala negara kita sebagai net exporter ini mempunyai harga minyak yang
tinggi dan inflasinya juga tinggi malah semakin meninggi dalam masa
beberapa bulan lagi dengan kadar pengangguran yang sangat besar. Shabery
sekali lagi terkebil dan kali ini mengelap buih-buih yang membuak di celah
bibirnya.


Akhir sekali, Shabery menyentuh dalil yang mengatakan negara ini akan
menjadi net importer pada 2015 dan persoalan yang dibawa ialah apakah
kerajaan Anwar akan terus menaikkan harga minyak pada kadar harga global
tanpa subsidi?


Dengan akal Anwar menjawab, biarlah fakta kehabisan isi telaga minyak itu
disebut dengan penuh iaitu, "Jika sekiranya carigali minyak itu atau
pencarian minyak itu berhenti sekarang, ianya akan bertahan sehingga 2015".
Itu jika Petronas berhenti mencari minyak.


Adakah Petronas akan berhenti meneroka pada saat ini? Anwar menjelaskan, 10
tahun dulu telah dinyatakan minyak di negara ini akan habis pada tahun 2005
tetapi pada hari ini ianya bertambah selaras dengan penerokaan minyak yang
baik dari Petronas. Kesimpulanya, fakta Petronas sendiri menunjukkan bahawa
setiap 1 liter minyak yang disedut, maka penemuan baru adalah sebanyak
1.8liter. Kita berhujah dengan fakta !


Akhir kata, sekali lagi saya mendefinasikan bahawa, Shabery telah gagal
meyakinkan rakyat terbanyak perihal "Mengapa harga minyak sedemikian rupa"
malah beliau banyak menggunakan masa debat yang diperuntukkan hanya untuk
membidas kenangan lampau DSAI semata-mata. Tiada fakta melainkan retorik
semata-mata.


Saya sudahi artikel pendek ini dengan ucapan jutaan tahniah kepada Dato
Seri Anwar Ibrahim kerana begitu bersungguh-sunggu mempertahankan hak
rakyat. Tidak lupa juga saya ucapkan tahniah kepada agenda daily kerana
memberi ruang kepada seluruh rakyat Malaysia bagi mendengar pidato Anwar.


Kepada rakyat yang berada diceruk kampung sana, yang tidak terdedah kepada
sumber berita yang benar-benar sahih, gunakanlah peluang ini untuk berfikir
dengan lebih mendalam. Apa yang diperjuangkan oleh Anwar dan rakan Pakatan
Rakyat adalah untuk anda semua. Bangkitlah, Kita Wajar Memiliki Malaysia
Yang Lebih Hebat ! We Deserve a Better Malaysia.


.:Kerajaan Ibarat Menghantar Mekanik Untuk Merawat Pesakit:.

No comments: